Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa tiada langkah membasmi kemiskinan digariskan untuk lapan daerah di Sabah dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada minggu lalu.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, peruntukan sebanyak RM393.8 bilion sepatutnya merangkumi aspek yang benar-benar memerlukan.

“Saya harap kewangan begitu besar harus disalurkan kepada sektor-sektor yang begitu memerlukan. Tapi sebahagian besar berada di Semenanjung, di Sabah mana?,” soal beliau ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, usaha membangun negara perlu dilakukan meliputi perhatian dan fokus kepada luar bandar, selain kawasan bandar.

Jelasnya, peruntukan sedia ada perlu dimanfaatkan untuk kemudahan elektrik dan jaringan internet di kawasan luar bandar khususnya.

“Kalau kita nak wujudkan sekolah, belanjalah sebanyak mungkin bukan hanya tandas, bukan perbelanjaan komputer tapi penyediaan bekalan elektrik… Kita bagi tablet, tapi elektrik tidak ada, jaringan internet tidak ada,” tambahnya,

Dalam pada itu, Shafie juga menggesa kerajaan memastikan syarikat yang dilantik dalam pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah mampu melaksanakannya.

“Saya berharap pelaksanaan projek ini bukan hanya berdasarkan cadangan kerajaan negeri, perlu pastikan betul-betul syarikat yang mampu melaksanakan, sebab duit yang dibelanjakan sentiasa keluar,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui proses pembinaan LPB di Sabah amat lambat berbanding di Sarawak.

Sehubungan itu beliau mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memantau dan memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar.

Setakat ini dilaporkan hanya empat daripada 16 pakej kerja projek LPB Sabah sudah dimulakan.

Ia melibatkan ialah Pakej Kerja (WP) lima di Papar, WP 15 di Tawau, WP 27 di Sandakan dan WP 21 di Lahad Datu Bypass.-MalaysiaGazette