KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hairan dituduh oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang beliau memperalatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau juga mempersoalkan bagaimana Mohd Puad boleh membuat tuduhan itu dalam kes saman LHDN terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin atas dakwaan tidak membayar cuka pendapatan berjumlah RM1.7 bilion.
Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bertanya sama ada Mohd Puad memahami proses perundangan kerana dalam apa-apa juga kes melibatkan kerajaan, ia perlu mendapat persetujuan pihak Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.
“Jika Pejabat Peguam Negara merasa bahawa kes itu tidak mempunyai asas kukuh maka ia tidak akan di bawa ke mahkamah.
“Maka apabila ia di bawa ke mahkamah ia bermakna Peguam Negara merasa ada asas yang cukup,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membuat dakwaan tersebut dalam hantaran Facebook kelmarin.
Dr Mahathir menambah, apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim akan membuat penilaian berdasarkan bukti-bukti yang dipamer dan saksi-saksi yang dipanggil.
Menurut beliau, jika tiada saksi-saksi dan bukti-bukti yang sahih dan kukuh maka hakim dan mahkamah akan membuang kes tersebut.
“Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin menolak rayuan Najib dan anaknya untuk membatalkan kes cukai mereka.
“Panel lima hakim telah sebulat suara menolak rayuan mereka membatal kes saman cukai LHDN berjumlah RM1.7 bilion tersebut,” jelasnya.
Dr Mahathir juga mempersoalkan mengapa peguam Najib tidak menunjukkan bukti di hadapan hakim di mahkamah jika benar LHDN telah diperalatkan olehnya.
“Apakah Puad menganggap hakim-hakim tersebut tidak tahu menilai bukti-bukti dan saksi-saksi yang di pamer di mahkamah?” soalnya.
Beliau juga bertanya mengapa Mohd Puad tidak memberi bukti terhadap tuduhannya itu kepada peguam Najib dan menawarkan diri sebagai saksi pembelaan.
“Tetapi ini tidak dilakukan olehnya. Sebaliknya dia cuma ‘meroyan’ di luar mahkamah dan membiarkan Najib menghadapi saman dan kalah,” katanya. – MalaysiaGazette