SPRM mengiringi seorang ahli lembaga pengarah sebuah nasi kandar terkemuka di mahkamah George Town bagi mendapatkan perintah reman hari ini.

GEORGE TOWN – Ahli Lembaga Pengarah sebuah nasi kandar terkemuka direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi program penggajian dan penempatan semula pekerja warga asing.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi sehingga 20 Oktober selepas membenarkan permohonan dikemukakan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) negeri, R. Yeohgeswarajen di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.56 pagi dalam keadaan tangan bergari serta memakai baju lokap SPRM.

Suspek direman selama tiga hari.

Menurut sumber, suspek dikatakan bersubahat dengan seorang pegawai wanita Jabatan Imigresen Pulau Pinang bagi proses penghantaran pulang seorang pekerja asing nasi kandar terbabit pada Disember tahun lalu.

“Susulan itu, kita menahan kedua-dua individu berkenaan di dua lokasi berasingan di negeri ini semalam.

“Bagaimanapun, pegawai imigresen berusia 32 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya dirakam.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen program penggajian dan penempatan semula pekerja asing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Tuan Ruslan Tuan Mat ketika dihubungi mengesahkan kes dan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast