KUALA LUMPUR – Pihak Pengurusan Tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) diyakini akan mengambil perhatian terhadap saranan Perdana Menteri yang mahu memastikan semua majikan sama ada di pihak kerajaan mahupun swasta bertekad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.
Malah, pada masa sama ia tidak mengesampingkan kebajikan, peranan dan tanggungjawab pekerja ke arah tersebut, kata Setiausaha Agung Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja Tenaga Nasional Berhad (KPPPTNB), Dzulkernain Hassan.
Menurutnya, pihak pengurusan tertinggi TNB yang diterajui oleh Datuk Seri Ir. Baharin Din, akan memeterai saranan tersebut lebih awal memandangkan Sesi Rundingan Perjanjian Kolektif Ke-11 di antara TNB dan KPPPTNB sedang berlangsung pada ketika ini.
“Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja Tenaga Nasional Berhad (KPPPTNB) menyambut baik berkenaan saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2024) pada 13 Oktober 2023 Di Parlimen Malaysia.
“Saranan ini secara tidak langsung akan memastikan semua majikan sama ada di pihak Kerajaan dan Swasta akan segulai sejalai dengan saranan tersebut untuk mencapai tantanan dan wahana baharu untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan dalam masa yang sama tidak mengesampingkan
kebajikan, peranan dan tanggungjawab pekerja ke arah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkernain berkata, menyinggung kenyataan Presiden KPPPTNB, Othman Alia kepada pihak media, beliau amat yakin dan percaya bahawa kebijakan tatakelola yang baik oleh Pihak Pengurusan TNB di bawah kepimpinan Baharin akan berterusan memberi tumpuan dan menitikberatkan kebajikan di dalam memastikan ‘Take Home Pay’ khasnya kepada Anggota Kerja TNB dan amnya anggota kerja teknikal TNB.
Tambahnya, sementelahan dengan ucapan Perdana Menteri yang bertemakan “Refomarsi Ekonomi, Memperkasakan Rakyat” di bawah tajuk Ikhtiar 12: Kesejahteraan Penjawat Awam, pada perkara 288, ia menyatakan bahawa Kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.
“Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus. Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah,” katanya. – MalaysaiGazette