Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Simposium 'The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,18 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-sekarasnya tindakan terbaru Israel yang terus bertindak ganas dengan mengebom sebuah hospital yang menjadi tempat beribu pelarian Palestin mencari perlindungan di Gaza malam tadi.

Lebih 500 orang dilaporkan maut selepas Hospital Al-Ahli Arab yang terletak di utara Semenanjung Gaza itu dibom.

Perdana Menteri, Datuk Seri menegaskan, Malaysia kesal dengan insiden itu yang dianggap keterlaluan dan mahu peperangan dihentikan segera.

“Perkembangan terkini mengenai serangan Israel itu agak keterlaluan, saya juga turut mengulangi beberapa kenyataan yang telah dibuat mendukung beberapa kenyataan sesetengah pimpinan negara luar yang menyatakan kesal dan mengecam pengeboman hospital Gaza.

“Apa pun yang dituduh siapa pun maknanya ini kesan dari serangan dan perang, sebab itu kita katakan sebaiknya hentikan.

“Ini masa untuk kita redakan keadaan dan hentikan, kalau teruskan ini, mangsanya wanita, anak-anak, pesakit ini sudah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan.

“Dan yang paling dikesalkan ialah negara Barat yang bercakap soal hak kemanusiaan ini rupanya ada kategori, ada manusia kelas satu, ada manusia kelas hamba dan ini kita bantah sekeras-kerasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau akan melawat Riyadh, Arab Saudi esok untuk menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN bagi mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

“Selepas GCC, Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohammed bin Salman meminta saya hadir untuk lawatan sehari untuk berbincang.

“Saya akan fikirkan keperluan untuk berbincang dengan beberapa kepemimpinan sama ada saya perlu jelajah ke beberapa negeri atau melalui telefon saja,” katanya.

Ditanya mengenai status pasukan pengaman Malaysia di Lubnan, Anwar berkata, keputusan untuk mengekalkan pasukan pengaman itu dibuat bersama dengan Pertububan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kalau keadaan keselamatan itu dapat terjamin kita akan teruskan kalau tidak kita akan bawa pulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast