Allahyarham Izzat (berbaju kuning) bergambar bersama keluarga ketika Aidilfiti tahun lalu.

KUANTAN – Keluarga Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab mahu jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan di Malaysia.

Abangnya, Muhamad Asmawi berkata, keluarganya berubah fikiran untuk mengebumikan Allahyarham di Kuantan kerana musykil dengan laporan perubatan yang dikeluarkan di Myanmar.

Sebelum ini, laporan perubatan menyatakan punca kematian Izzat akibat serangan jantung.

Keluarga Asmawi berharap proses bedah siasat kali kedua dapat dilakukan di Malaysia bagi memastikan keputusan perubatan bedah siasat selari dengan keputusan di Myanmar.

“Pihak kedutaan akan membantu ahli keluarga setibanya di lapangan terbang nanti bagi menguruskan bedah siasat di Yangon, kemudian perbincangan kedua akan diadakan bagi menjalankan urusan dokumentasi bawa balik ke Malaysia.

“Secara lisan pihak perubatan di Taicileik mengatakan arwah meninggal akibat sakit jantung, jadi kita nak tengok laporan berdah siasat di Malaysia.

“Bukan menuduh sesiapa namun bagi memastikan dapat menuntut keadilan kepada mangsa kerana musykil apabila meninggal dalam tahanan Imigresen di Myanmar,” katanya.

Asmawi berkata demikian ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Chan Chun Kang di rumah keluarganya di Peramu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Perhubungan Awam Malaysia International Humanitarian Organization (MHO), Daniel Khoo.

Jelasnya, proses menuntut keadilan perlu dilakukan kerana kes melibatkan adiknya itu bukan kes pertama yang berlaku di negara tersebut.

Katanya, apa yang menimpa arwah perlu dijadikan tauladan kepada semua pihak supaya tidak terjerat dengan sindiket pemerdagangan manusia sehingga mengorbankan nyawa.

“Masyarakat perlu berhati-hati kerana modus operasi sindiket ini dilakukan dengan pelbagai cara,” tambahnya.

Terdahulu keluarga memaklumkan proses membawa pulang jenazah dari Taiciliek ke Yangon bermula esok akan dibantu pihak Kedutaan Malaysia di negara itu dan pertubuhan kemanusiaan di Myanmar.

Allahyarham Izzat merupakan anak bongsu daripada lapan beradik berasal dari Tanjung Lumpur menaiki penerbangan ke Bangkok pada 7 Oktober lalu sebelum diculik ke Myanmar melalui jalan darat pada 11 Oktober.

Mangsa diselamatkan oleh wakil pertubuhan kemanusiaan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar pada 14 Oktober lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukur dan dua anak lelaki Muhammad Nu’man dan Muhammad Naqib Anaqi, masing-masing berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette