Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) bersama Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar (dua kanan) bercakap pada sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-9, Bil.3/2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 18 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Para pengusaha taman tema diberi lampu hijau untuk mengambil tambahan seramai 2,000 pekerja asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing telah menimbang permintaan daripada Kementerian Pelancongan untuk membuka kemasukan para perkerja tersebut ke taman tema.

“Terdapat keperluan drastik untuk 2,000 pekerja asing dan kami telah bersetuju dengan permintaan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-9, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Saifuddin Nasution berkata, pada masa ini, terdapat 78 taman tema yang beroperasi di seluruh negara, menggaji tenaga kerja kira-kira 13,000 orang.

“Tambahan 2,000 pekerja itu diperlukan untuk membuat persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia pada 2026,” ujarnya.

Pada bulan lepas, Sivakumar mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membuka semula pengambilan pekerja asing untuk bekerja di kedai gunting rambut, tukang emas dan kedai barangan tekstil.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, keputusan menamatkan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember ini dibuat selepas mengambil kira sasaran paras siling 2.4 juta pekerja asing yang ditetapkan.

Ujarnya, ini kerana jumlah pekerja asing yang sudah diberikan pas lawatan kerja sementara (PLKS) di negara ini ketika ini hampir mencecah 1.7 juta orang.

“Sasaran kita, jumlah pekerja asing di negara kini adalah silingnya tidak boleh melepasi 2.4 juta menjelang 2025.

“Yang telah diberi PLKS di negara kita adalah hampir 1.7 juta. Jadi, dengan sasaran 2.4 juta, kita rasa memadai dengan kuota yang sudah diluluskan (setakat ini) untuk kita pantau perkembangan majikan membawa masuk (pekerja asing),” katanya.

Saifuddin sebelum ini memaklumkan, permohonan menerusi Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bawah Program RTK akan ditutup 31 Disember ini.

Setakat ini lebih 700,000 PATI sudah mendaftarkan diri bagi mengisi keperluan tenaga kerja untuk lima sektor kritikal.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Pelan Pelonggaran (Penggajian Pekerja Asing) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga sudah ditamatkan pada Mac lalu.

Justeru tiada lagi permohonan kuota untuk tahun ini.

“Kita hanya akan menguruskan atau memantau kemasukan pekerja asing berdasarkan kuota yang telah diluluskan kerana kita ada siling sasaran kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast