KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke suku akhir selepas menundukkan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pusingan kedua Terbuka Denmark 2023 di Odense hari ini.
Gandingan di kedudukan keempat dunia itu bangkit pada set kedua untuk untuk menyingkirkan pasangan juara dunia tiga kali berkenaan 16-21, 21-5, 21-15 dalam perlawanan yang mengambil masa 41 minit.
Juara dunia 2022 itu dijangka berdepan laluan mudah untuk menempah slot ke separuh akhir apabila dijadual bertemu pasangan di kedudukan ke-16 dunia dari China Hi Ji Ting-Ren Xiang Yu yang mengalahkan pasangan tuan rumah Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-15,21-5.
Sementara itu, beregu campuran negara Chen Tan Jie-Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua oleh pilihan kelima kejohanan Dechapol Puavanakroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 15-21, 12-21.
Menerima nasib sama beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang ditewaskan pasangan Hong Kong Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 15-21, 21-17, 20-22. – Bernama