KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan, eksport dan import Malaysia pada September 2023 kekal menguncup untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak Mac lalu berikutan permintaan rendah global dan harga komoditi yang rendah.
Jumlah perdagangan berkurang 12.6 peratus kepada RM224.4 bilion dengaan eksport menyusut 13.7 peratus kepada RM124.5 bilion dan import menurun 11.1 peratus kepada RM100.0 bilion tahun ke tahun.
Lebihan dagangan turut merosot 23.0 peratus kepada RM24.5 bilion pada September 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada September 2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik.
Eksport semula berjumlah RM27.8 bilion, menyusut 17.9 peratus berbanding September 2022 manakala eksport domestik bernilai RM96.7 bilion, menyumbang 77.7 peratus kepada jumlah eksport berkurang 12.4 peratus.
Import pada September 2023 bernilai RM100.0 bilion, berkurang 11.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Sementara itu, lebihan dagangan menguncup 23.0 peratus kepada RM24.5 bilion, lebihan dagangan ke-41 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Berbanding Ogos 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan merekodkan peningkatan masing-masing 8.2 peratus, 2.1 peratus, 5.4 peratus dan 42.7 peratus.
Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 146 daripada 255 kumpulan barangan eksport dan 149 daripada 258 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mohd Uzir menjelaskan, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke China (-RM3.5 bilion), diikuti oleh Singapura (-RM2.5 bilion), Jepun (-RM2.5 bilion), Indonesia (-RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (-RM1.5 bilion), Australia (-RM1.4 bilion) dan Hong Kong (-RM1.2 bilion).
Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari Amerika Syarikat (-RM2.7 bilion), diikuti oleh Taiwan (-RM2.3 bilion), Indonesia
(-RM2.2 bilion), China (-RM2.2 bilion), Arab Saudi (-RM1.8 bilion) dan Jepun (-RM1.5 bilion).
Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, penyusutan selaras dengan pengurangan oleh keluaran petroleum (-RM6.6 bilion); barangan elektrik & elektronik (-RM3.1 bilion); gas asli cecair (-RM2.5 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.2 bilion) dan barangan perkilangan lain (-RM1.2 bilion).
Penguncupan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (-RM3.2 bilion); petroleum mentah (-RM3.1 bilion); arang batu (-RM1.1 bilion); kimia & bahan kimia (-RM1.0 bilion) dan minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM890.7 juta).
“Penyusutan import mengikut penggunaan akhir seiring dengan permintaan yang lebih perlahan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan. Import barangan perantaraan (49.5% daripada jumlah import) bernilai RM49.5 bilion, mencatatkan
kemerosotan 15.6 peratus atau RM9.1 bilion.
“Barangan modal bernilai RM10.9 bilion menyusut 5.8 peratus berbanding September 2022 dan merangkumi 10.9 peratus daripada jumlah import. Barangan penggunaan (8.8% daripada jumlah import) mencatatkan pengurangan 0.6 peratus kepada RM8.8 bilion,” ujarnya.
Prestasi bagi suku tahun ketiga (ST3) 2023, jumlah dagangan, eksport dan import mencatatkan kemerosotan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Mohd Uzir berkata, jumlah dagangan turun 15.7 peratus, selari dengan pengurangan eksport (-15.2%) dan import (-16.3%).
Lebihan dagangan berjumlah RM59.1 bilion, menyusut 9.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.
Berikutan dengan itu, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga September 2023 turut mencatatkan penurunan.
Jumlah dagangan berkurang 8.6 peratus, sejajar dengan penyusutan eksport (-8.4%) serta import (-8.9%).
Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 5.7 peratus bagi mencatatkan nilai RM177.3 bilion. – MalaysiaGazette