wong chen
Wong Chen (tengah) dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan rejim Zionis Israel memotong bekalan keperluan asas seperti air, elektrik dan gas kepada penduduk Gaza boleh disamakan dengan jenayah perang.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen, Wong Chen berkata, pihaknya mengecam jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis Israel itu.

“Jawatankuasa ini juga mengecam semua bentuk kekejaman dan menggesa permusuhan yang sedang berlaku segera dihentikan.

“Ia adalah selaras dengan Konvensyen Geneva Keempat mengenai perlindungan terhadap orang awam semasa perang,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Rejim Zionis Israel memotong bekalan air, elektrik dan gas ke Gaza sejak lebih seminggu lalu sebagai tindak balas serangan yang dilancarkan oleh pejuang Hamas.

Wong menambah, jawatankuasa tersebut menggesa agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diberi mandat menjadi pengantara proses gencatan senjata dan menguruskan pemindahan pelarian secara selamat serta teratur.

Beliau memberitahu, jawatankuasa itu senada dengan kerajaan Malaysia dalam memperakui bahawa Hamas telah dipilih secara demokratik oleh penduduk Gaza.

“Oleh itu, kami memperakui bahawa Hamas mempunyai kuasa yang sah di Gaza,” jelasnya.

Wong berkata, pihaknya turut menyokong pendirian kerajaan dan usahanya mengadakan dialog dengan Hamas dan pihak lain untuk mencari penyelesaian aman kepada konflik di Gaza.

Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan juga menyokong ikrar kerajaan untuk menderma RM100 juta sebagai bantuan kemanusiaan kepada semua yang terjejas.

“Kami berterima kasih atas pembukaan lintasan Rafah-Gaza dan berharap perkembangan ini akan membantu menggalakkan kerjasama serantau yang lebih baik ke arah keamanan,” katanya. – MalaysiaGazette