PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menolak saman sivil dikemukakan keluarga mendiang P. Karuna Nithi yang didakwa meninggal dunia ketika ditahan dalam penjara pada 2013.
Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk S. Nantha Balan sebulat suara mengekalkan keputusan mahkamah sebelum ini.
Turut bersidang, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing pada prosiding hari ini.
Mohd Nazlan berkata, walaupun saman kali ini merupakan saman kedua namun ia masih sama dengan saman pertama yang memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan ganti rugi daripada kerajaan atas kematian mendiang.
“Prinsip res judicata adalah terpakai dalam kes hari ini,” katanya.
Res judicita adalah jika kes itu telah diadili oleh mahkamah berdasarkan merit ia tidak boleh diteruskan.
Dalam saman yang dikemukakan oleh keluarga mendiang, mereka menuntut pampasan atas dakwaan pihak berwajib telah melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Pada Januari 2015, Mahkamah Koroner Seremban memutuskan kematian Karuna Nithi yang bekerja sebagai jurutera akibat kecederaan dilakukan oleh anggota polis serta tahanan lain.
Dua tahun kemudian, Mahkamah Tinggi Seremban mengekalkan keputusan itu.
Karuna Nithi yang ketika itu sedang menunggu masa untuk diikat jamin ditemui mati dalam lokap di Balai Polis Tampin pada Jun 2013.
Beliau ditahan selepas menyerang isterinya dalam pertengkaran yang berlaku di Taman Muhibbah, Gemencheh pada Mei tahun sama sebelum wanita itu membuat laporan polis. -MalaysiaGazette