KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang mengadakan perbincangan mengimport beras putih dari India berikutan keputusan negara itu meluuskan pengeksportan 170,000 tan metrik beras tersebut, baru-baru ini.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun kerajaan akan mengkaji beberapa perkara terutama harga yang ditawarkan.
“Ia baru peringkat persetujuan, akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya sebelum kita ambil tindakan selanjutnya,” katanya selepas majlis Pra-Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan India bersetuju mengeksport 170,000 metrik tan beras putih, bukan Basmati ke Malaysia, sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Keputusan itu diambil selepas Malaysia memohon peruntukan kuota khas beras putih menerusi hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Menurut Mohamad Sabu, antara inti pati perbincangan G2G itu adalah bagi mengemukakan permohonan kepada India untuk meneruskan pengeksportan beras putih ke negara ini.
“Di peringkat kementerian sekarang, kita sedang berhubung. Kalau dapat tarikh baru kita dapat pergi ke sana sebab kita nak berbincang secara G2G.
“Kita akan minta mereka meneruskan eksport beras putih ke Malaysia. Itu harapan kita sebab kalau mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia akan membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
Kenapa tajuknya ‘eksport’? Sejak bila Malaysia ada eksport beras ke India?