SABAK BERNAM – Pelatih-pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di sini dipesan supaya sentiasa beristiqamah dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

Pada masa sama, masyarakat turut diminta agar tidak memandang serong individu yang pernah berada dan menjadi penghuni pusat perlindungan tersebut, kata Timbalan Setiausaha Operasi, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),  Norzaihan Mohd Zain.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Pelatih 2023 yang menyaksikan seramai 22 orang pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan menerima anugerah menerusi enam kategori yang diadakan pada hari ini.

Norzaihan berkata, semua anugerah yang diberikan merupakan penghargaan kepada pelatih kerana berjaya menamatkan tempoh pemulihan dengan cemerlang.

“Saya mewakili pihak pengurusan tertinggi MAIS mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelatih-pelatih yang telah berjaya menerima anugerah pada hari ini.

Norzaihan Mohd Zain

“Saya mendoakan pelatih-pelatih yang menerima anugerah pada hari ini akan terus istiqamah mengamalkan apa yang dipelajari di sini sekali gus menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada keluarga dan masyarakat di luar sana,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Beliau meminta supaya masyarakat sentiasa berperanan sebagai mata dan telinga agar dapat memberi petunjuk dan kebaikan kepada individu-individu yang hilang arah akibat gejala sosial.

Pada majlis itu sebanyak enam kategori diterima oleh  pelatih iaitu Anugerah Khas Baitul Ehsan, Anugerah Disiplin Terbaik, Anugerah Sahsiah & Kepimpinan, Anugerah Ketua Pelatih Terbaik dan Anugerah Pelajaran Terbaik.

 MAIS turut memberi penghargaan kepada 26 Guru Pembimbing Riqab Baitul Ehsan pada majlis sama.

Sejak ditubuhkan pada 2001 hingga tahun lalu, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah menerima seramai 1,830 orang pelatih bagi kemasukan secara perintah mahkamah dan sukarela.- MalaysiaGazette