Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas, masih berteka-teki untuk menentukan calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun pihaknya akan memuktamadkan perkara itu selewat-lewatnya sebelum 18 November ini.

“Sebelum 18 November (umum calon PRK Kemaman),” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat media sempena Muktamar PAS Pusat kali ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membenarkan petisyen Barisan Nasional (BN) yang difailkan terhadap Che Alias Hamid, sekali gus membatalkan kemenangan Pas dalam PRU15 di Parlimen Kemaman pada 19 November tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi pengurusan kes secara dalam talian bahawa keputusan hakim dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu.

Hakim berkata, pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15 dan mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen.

Sebelum ini, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen pada 3 Januari lalu, memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 membabitkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mewakili PN di kerusi Parlimen Kemaman, Takiyuddin berkata, semua pihak boleh bertanding walaupun dari luar.

“Semua rakyat Malaysia berhak menjadi calon, asalkan warga Malaysia, dia tak kita orang Terengganu, sebab dia calon Parlimen.

“Tak semestinya (calon tempatan), boleh jadi dia (dari sama kawasan), boleh jadi lain (luar), belum putuskan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast