Perwakilan Pemuda Pas Johor, Mohd Azlan Alias

SHAH ALAM – Pemuda Pas Johor mengingatkan wakil rakyatnya supaya menjaga tingkah laku dan nama baik parti Islam itu agar tidak membebankan akar umbinya hingga terpaksa menjawab bagi pihak mereka kepada rakyat.

Perwakilannya, Mohd Azlan Alias berkata, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu menjaga tingkah laku dan pertuturan kerana mereka menjadi ikutan akar umbi.

“Jangan membebankan orang bawah, ahli nak jawab kepada orang awam terhadap tindakan Yang Berhormat yang telah pun melanggar etika jemaah.

“Keluarkan kata-kata baik, sebab yang melihat itu bukan semuanya ahli Pas, tetapi rakyat Malaysia.

“Mereka sedang melihat siapakah yang mampu diberikan kepercayaan memerintah Malaysia,” katanya ketika sesi perbahasan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) kali ke-64 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Azlan juga menggesa kepimpinan Pas menunjukkan prestasi yang baik dalam pentadbiran negeri yang ditadbir parti Islam ketika ini dalam pembentukan kerjasama antara negeri Perikatan Nasional (PN).

“Pastikan SG4 ini dapat dirasai oleh negeri yang belum kita tadbir, sebab daripada SG4 ini boleh berjangkit sekiranya SG4 ini berjaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette