KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah, Kumpulan JL99 menyumbang RM300,000 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) atas semangat solidariti terhadap keperitan dihadapi penduduk Gaza ketika ini.
Sumbangan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pengasas dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff Lee pada majlis agihan sumbangan berlangsung di Kompleks Seri Perdana semalam.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Jeff Lee cukup terkesan dengan peperangan antara Hamas dan rejim Israel sehingga menyebabkan ribuan nyawa termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas menjadi mangsa.
Tindakan itu juga bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan jelas tidak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Ini adalah semangat solidariti JL99 bagi membantu aktiviti kemanusian terhadap komuniti Palestin yang terjejas dalam zon konflik. Apa yang berlaku ini cukup memberi kesan mendalam buat kami semua.
“Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk tanpa bekalan elektrik manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan semakin terhad. Semoga apa yang kita sumbang dapat sedikit sebanyak membantu.
“Apa yang lebih kita harapkan agar semua ini kesengsaraan akan berhenti, perang ini amat kejam dan Israel perlu segera menamatkan pencerobohan ke atas Gaza. Apa yang berlaku ini bertentangan dengan nilai kemanusian. Kita doa yang terbaik,” katanya.
Beliau berharap akan ramai golongan korporat yang berkemampuan akan tampil membantu meringankan bebanan mangsa perang ketika ini.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak. -MalaysiaGazette