Penganjur Yess Boss Groups, Shahkeer Azzat Zailan berkata, kehadiran pemenang enam kali Anugerah Filmfare itu akan menyaksikan sebuah persembahan penuh memukau dan magis.
“Kami diberi kepercayaan bagi merealisasikan impian peminat untuk melihat Hrithik kembali beraksi dengan skil tarian yang hebat.
“Hrithik juga sangat berbesar hati untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat yang sentiasa menyokong bukan hanya kerja seni tetapi menghargai dirinya sebagai seorang individu,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahkeer Azzat berkata, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi konsert penutup bagi tahun ini dengan penuh gilang-gemilang serta bukti pengaruh seni Bollywood yang tidak pernah mati.
“Dalam lambakan muzik atau pelbagai genre konsert yang berjaya dilangsungkan sepanjangtahun ini, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi bukti dan tanda aras bahawa aliran Bollywood sentiasa dinantikan.
“Ramai peminat yang dahagakan penampilan bintang kesayangan mereka termasuk Hrithik yang sememangnya mempunyai pengaruh luar biasa di Malaysia,” ujarnya.
Konsert anjuran bersama Heart Art Entertainment dan Dembi Productions itu turut membawakan pengarah filem dan koreografi, Prabhudeva yang akan menemani aktor filem Kaho Na Pyar Hai tersebut bagi menjayakan persembahan.
Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti hebat lain seperti Vaani Kapoor, Maliaka Arora, Sanya Malhotra, Aastha Gill serta pasangan popular iaitu Bharti Singh dan Haarsh Limbachiyaa. – MalaysiaGazette