Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan replika kunci rumah Ru'Rasa kepada penerima di Kampung Pahang Tua, Pekan

PEKAN –  “Jagalah rumah ini sebaik mungkin, janganlah terfikir nak jual atau sewa.”

Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada penerima rumah kurnia Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) di sini hari ini.

Baginda turut bertitah agar penerima kunci rumah  memaklumkan kepada pihak Pejabat Tanah dan Daerah serta Pejabat Sultan sekiranya tidak mempunyai waris dan tidak menjual rumah tersebut.

Baginda bertitah demikian hari ini selepas mengurniakan replika kunci rumah Ru’Rasa kepada 16 penerima di daerah ini dalam satu majlis di Kampung Pahang Tua di sini hari ini.

Menurut baginda, rumah Ru’Rasa didirikan dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu didirikan mengikut dua jenis rumah berkeluasan kira-kira 1,000 kaki persegi dan 800 kaki persegi.

“Saya bagi pihak rakyat dan kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pihak UAE. Semoga ianya dapat diteruskan dan ditambahkan lagi,” titah baginda.

Salah seorang penerima, Nor Rafeah Mustafa, 41, melahirkan rasa syukur dan terharu menerima kunci rumah itu yang dikurniakan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah.

Nor Rafeah Mustafa

Dia yang bekerja sebagai pembantu gerai itu memaklumkan sebelum ini hanya tinggal di rumah ibu bapanya yang terletak kira-kira 300 meter daripada rumah Ru’Rasa tersebut.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuanku kerana mengurniakan rumah yang sempurna ini.

“Saya mohon lima tahun lepas melalui bantuan e-Kasih selain turut menghantar borang. Ibu pula mengizinkan rumah dibina di atas tanahnya,” katanya. – MalaysiaGazette