KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam proses naik taraf padang yang digunakan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dengan menggunakan rumput jenis hibrid.
Perkembangan itu dikongsikan oleh laman sosial rasmi Facebook Johor Southern Tigers (JST) di mana ia akan menjadi stadium pertama di Malaysia yang menggunakan padang hibrid.
“Selepas menganalisa hasilnya, rumput tersebut akan dipasang di kesemua fasilii milik JDT. Padang hibrid ini akan menjadi satu-satu yang seumpamanya dalam bola sepak Malaysia,” tulisnya di hantaran JST itu.
Ketika ini, beberapa buah stadium di Asia juga sudah mula beralih daripada menggunakan rumput asli kepada hibrid iaitu satu teknologi baharu yang sudah mula mendapat perhatian di seluruh dunia.
Padang jenis hibrid adalah gabungan penggunaan rumput asli dan juga rumput sintetik pada kadar ratio yang sama untuk memaksimakan kelebihan masing-masing.
Rumput jenis ini juga sebenarnya dikenali dengan banyak nama seperti Xtragrass atau pun ‘Reinforce Natural Grass’ dan telah banyak digunakan di negara-negara Eropah.
Untuk melihat lebih jelas bagaimana strukturnya ditanam dengan merujuk gambaran keratan rentas struktur bawah padang ia dapat perhatikan bahawa rumput asli ditanam secara berselang-seli dengan rumput sintetik.
Apabila rumput asli telah matang, akarnya akan terus berkembang dan memegang struktur rumput sintetik yang ditanam pada kedalaman sekitar 20 sentimeter (sm) dari paras tanah. Jarak diantara rumput sintetik ini pula dianggarkan sekitar 2 sm setiap satu.
Di samping dapat mengelakkan rumput asli tercabut dengan mudah ia juga mampu untuk mencengkam tanah lebih kuat serta menghalang tanah dari tercabut dan merosakkan permukaan padang.
Antara kelebihan menggunakan rumput hibrid berbanding rumput asli atau rumput sintetik, ia mempunyai kondisi yang sama seperti rumput asli 100 peratus.
Selain itu, ia mempercepatkan proses pemulihan rumput asli yang rosak dengan lebih cepat, padang lebih tahan lasak tiga kali ganda, mengurangkan kos penyelenggaraan dalam tempah jangka masa panjang sehingga 70 peratus dan ketahanan yang lebih tinggi terhadap perubahan suhu terutama bagi negara empat musim.
Walaupun mungkin kos pemasangan yang terlibat agak mahal tetapi ia memiliki ketahanan tinggi serta menjimatkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang. – MalaysiaGazette