KUALA LUMPUR – Polis melakukan 148 serbuan ke atas pusat panggilan yang disyaki melakukan penipuan dalam talian antara Januari hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 premis terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian, penipuan belian dalam talian (39 premis) dan 46 premis penipuan pelaburan yang tidak wujud (46 premis).
Katanya, selain itu sebanyak 23 premis yang diserbu didisyaki pusat panggilan penipuan menerusi telefon, pinjaman tidak wujud (5 premis), love scam (satu premis), pembekal keldai akaun (satu premis) dan ah long (lima premis).
Menurut Ramli, seramai 1,160 individu ditahan dalam serbuan yang dilakukan itu dan daripada jumlah itu 791 individu adalah warga tempatan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 501 orang suspek telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan manakala baki 659 individu lagi masih dalam proses siasatan serta ada yang telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati sebanyak 69 dari 148 pusat panggilan yang diserbu dikesan menyasarkan rakyat negara ini.
Menurut Ramli, siasatan juga mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan aplikasi khas bagi membolehkan mereka berkomunikasi dalam bahasa perantara yang digunakan di negara sasaran mangsa.
“Aplikasi khas dipercayai digunakan sindiket untuk melakukan kegiatan penipuan dan masa sama meyakinkan penerima panggilan bahawa ia adalah panggilan yang benar,” ujartnya. – MalaysiaGazette