Norena Jaafar

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menafikan harga ayam di negeri itu meningkat 70 sen seperti dilaporkan semalam.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil pemantauan berterusan Pegawai Pemantau Harga (PPH) mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan jualan harga ayam di bawah harga kawalan RM 9.40 sekilogram (kg).

Malah jelasnya, pemeriksaan harian oleh penguat kuasa di seluruh negeri juga mendapati, ada premis menjual pada harga RM7.99/kg.

“Jadi satu laporan akhbar menyatakan berlaku kenaikan 70 sen adalah tidak benar malah pergerakan harga ayam di pasaran negeri Melaka adalah terkawal mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.

“Cuma terdapat segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan antara 30 sen hingga RM1 bagi setiap kg ayam namun ia adalah atas pilihan pengguna atas perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, sehingga semalam sebanyak 24,543 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang.

“Selain itu, KPDN Melaka telah merekodkan sebanyak 1,008 aduan rasmi, yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

“Setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima dan semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan info yang sahih sebelum menyebarkan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, KPDN Melaka sentiasa mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan.

“Pengguna boleh melaporkan sebarang aduan dan salah laku berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Negeri Melaka di talian 06-2345869 setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang.

“Aduan juga boleh dibuat melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2794317,” katanya. – MalaysiaGazette