Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menolak rayuan seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen bersama seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan kembali RM182,000 wang telah dilucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM melucut hak wang itu empat tahun lepas.

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membenarkan kerajaan melucuthak wang berkenaan berdasarkan undang-undang dan fakta.

“Mahkamah Tinggi juga telah pertimbangkan hujahan dikemukakan oleh kedua-dua perayu sebelum menolaknya. SPRM juga telah mematuhi semua syarat,” katanya pada prosiding, hari ini.

SPRM melakukan serbuan di kamar Hakim berkenaan, Azmil Muntapha pada 22 dan 26 Julai 2019 ketika beliau bertugas sebagai hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu.

Wang tersebut didakwa diperolehi daripada ahli perniagaan, Leong Peng Woon yang merupakan seorang kontraktor melalui pinjaman berjumlah RM200,000 bagi membeli sebuah rumah lelong di Hulu Selangor.

Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini, Wendy Ooi memutuskan, Azmil dan Peng Woon gagal membuktikan kebarangkalian RM182,000 adalah wang pinjaman di bawah Perjanjian Pinjaman yang dibuat pada 11 dan 19 Jun 2019.

Azmil merupakan koroner dalam prosiding inkues menyiasat kematian Teoh Beng Hock iaitu Setiausaha Politik Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, sewaktu dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Azmil dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

Azmil kemudian membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya iaitu sehari penjara dan denda RM12,000. – MalaysiaGazette