KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan prinsip dan hukum antarabangsa mesti diperteguh selain mengecam kemunafikan komuniti antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia dan pembantaian ke atas warga Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sekali lagi menekankan bahawa rakyat Palestin mesti dikembalikan haknya, diiktiraf hak kenegaraannya, dan juga mengakui sempadan pra-1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia juga menggesa agar koridor bantuan kemanusiaan mesti segera digerakkan bagi memudahkan kemasukan bantuan makanan dan perubatan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pernyataan negara yang disampaikannya dalam Sidang Kemuncak Pertamana ASEAN-Majlis Negara Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi, hari ini.
Anwar memberitahu, hal Palestin ternyata menjadi tumpuan utama tatkala persidangan ketika negara berkenaan, terutamanya Gaza, terus dibedil tanpa henti, sekali gus meletakkan kedudukan hak, harta dan nyawa warga Palestin semakin terancam.
Beliau menambah, tindakan menyekat akses kepada keperluan asas ternyata memburukkan keadaan.
“Kerajaan Arab Saudi juga telah lebih awal mengambil inisiatif yang sama berkaitan Palestin di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) beberapa hari yang lalu,” katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai hubungan istimewa ASEAN-GCC serta tantangan yang melingkunginya terutamanya aspek geopolitik yang pasti mengesankan hubungan ekonomi antara kedua-dua benua.
Beliau berpandangan, ia mesti segera didepani bagi memaksimumkan potensi ekonomi.
“Saya mengakhiri pernyataan saya dengan mengusulkan Perjanjian Kerjasama Komprehensif ASEAN-GCC (CEPA) sebagai langkah ke depan demi rakyat kedua-dua rantau.
“Ia akan menjadi perjanjian hubungan perdagangan bebas (FTA) yang pertama yang akan menggabungkan ASEAN dan negara-negara teluk,” jelasnya. – MalaysiaGazette