KUALA LUMPUR – Mfast Resources Holdings Sdn.Bhd dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad (MAB) menawarkan pakej istimewa harga tiket penerbangan berpatutan kepada rakyat terutama sekali penyokong Harimau Malaya untuk pergi ke Qatar.
Ia bagi memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan Kim Pan Gon yang akan berentap dalam Kejohanan AFC Piala Asia 2023 di Doha pada Januari 2024.
Jurucakap Mfast, Khairul Effendy Abdullah berkata, pihaknya telah mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bekerjasama dengan MAB menyediakan pakej yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan (termasuk sarapan pagi), pengangkutan dari lapangan terbang, pengangkutan dari penginapan ke stadium perlawanan.
Katanya, penyokong Harimau Malaya juga mempunyai pilihan untuk hanya mendapatkan pengaturan darat untuk seorang pilihan untuk membeli tiket penerbangan dan tiket perlawanan secara terus atau memilih kami untuk pakej lengkap.
“Malaysia Airlines juga menyatakan komitmen mereka dengan menyediakan tiket penerbangan dengan harga yang rendah dan berpatutan iaitu pakej palinhg murah bermula daripada RM1,838 dan pakej paling mahal bermula daripada harga lebih kurang RM13,500 yang hanya digunapakai untuk perlawanan peringkat kumpulan sahaja.
“Kita akan mula membuka pembelian pakej berpatutan itu menerusi laman web rasmi kami www.mfasport.com bermula 21 Oktober ini dan segala maklumat lanjut berkaitan pakej penerbangan ini boleh diperolehi di sana juga,” katanya dalam sidang media khas Program ‘Road to Doha” Sempena AFC Piala Asia 2023 di sini hari ini.
Kejohanan itu akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024 manakala pasukan kebangsaan akan memulakan aksi perlawanan (peringkat kumpulan) menentang pasukan Jordan pada 15 Januari 2024 di Stadium Al-Janoub.
Beliau juga menambah, sebagai permulaan Mfast dengan kerjasama Malaysia Airlines sedang mengadakan promosi pada 21 Oktober ini bagi pakej serta tiket penerbangan pergi balik ke Doha.
Mengulas lanjut Affendi berkata, setakat ini, pihaknya tidak meletakkan sebarang kuota penerbangan kepada sesiapa sebaliknya ia dibuka kepa semua rakyat Malaysia yang mahu menyatakan sokongan dengan berada di Doha.
“Kalau anda lebih cepat membeli pakej tiket itu lagi mudah untuk diuruskan kerana kita takut sekali dekat dengan tarikh penerbangan harga tiket makin meningkat maka kami cuba menggalakkan penyokong untuk membeli lebih awal agar kita boleh perolehi harga terendah.
“Justeru kesemua pakej yang disediakan adalah untuk pakej satu, dua dan tiga perlawanan dan terpulang kepada peminat untuk memilih mana-mana pakej yang mereka mahukan selain ada juga cenderung untuk duduk di sana selama 13 hari.
“Walaupun Kumpulan Penyokong Ultras Malaya terbang secara bersendirian, mereka juga digalakkan untuk pakej ini sekiranya berminat dan menganggap pakej ini menepati kehendak bajet mereka ke Doha,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merupakan pihak utama bertanggungjawab di sebalik penawaran pakej berpatutan itu.
“Sebenarnya ada penyokong menghantar mesej kepada Hannah meminta agar satu pakej berpatutan tiket penerbangan ditawarkan kepada penyokong Harimau Malaya untuk terbang ke Doha.
“Daripada itu Hannah mengadakan perbincangan dengan MAS dan FAM membincangkan kaedah terbaik membawa penyokong kita ke Qatar untuk sokong skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dalam Piala Asia bermula Januari depan.
“Setelah beberapa kali sesi perbincangan akhinya ia dapat mendapai keputusan muktamad sehingga MAS pun bersetuju untuk memberi harga tiket penerbangan berpatutan untuk penyokong Malaysia,” tegasnya. – MalaysiaGazette