RIYADH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Khamis bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, kira-kira 35 kilometer di utara Riyadh, pada 8.15 malam waktu tempatan (pukul 1.15 pagi 20 Okt waktu Malaysia).
Ketibaan Anwar dan delegasi Malaysia disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Norman Muhamad dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Riyadh menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-GCC pada Jumaat di Hotel Ritz-Carlton dan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan yang antaranya mengetengahkan konflik semasa Israel-Palestin.
Pemerintah Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh tiba di sini semalam untuk menghadiri sidang kemuncak itu.
GCC adalah pakatan politik dan ekonomi yang dibentuk oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.
ASEAN dan GCC menjalin hubungan pada 1990 susulan hasrat blok negara-negara teluk itu mewujudkan hubungan rasmi dengan rantau Asia Tenggara.
Kedua-dua blok serantau itu kemudian mengadakan mesyuarat sulung di peringkat menteri pada 2009. Kesemua enam negara anggota GCC juga telah menyertai pakatan tidak agresif ASEAN iaitu Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Malaysia adalah penyelaras ASEAN bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, yang bertujuan mengoptimumkan kerjasama antara kedua-dua pertubuhan serantau itu.
Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin dan mencari jalan untuk menoktahkan penderitaan penduduk Gaza susulan tindakan ketenteraan terkini oleh rejim Zionis.
Perbincangan itu selaras dengan pendirian tegas Malaysia dan sokongan lantang Anwar kepada Palestin berikutan peningkatan tindakan keras Israel terhadap rakyat Palestin termasuk serangan terkini serta pertempuran di Semenanjung Gaza.
Ia juga dijangka membincangkan hala tuju masa depan dan hubungan ASEAN-GCC selaras dengan hasrat ASEAN untuk menjalin hubungan lebih meluas dengan negara Asia Barat termasuk dari segi ekonomi serta kerjasama tenaga.
Semasa lawatan kerja dua hari beliau ke sini, Anwar dijadual mengadakan perbincangan dengan syarikat Aramco dan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi sebelum bertemu rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Riyadh.
Perdana Menteri turut dijadual menghadap Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada Sabtu bagi membincangkan lebih lanjut isu Palestin dan hubungan dua hala.
Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah US$10.26 bilion direkodkan pada 2022, peningkatan 159.2 peratus berbanding 2021.
Antara projek terkemuka Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor melalui syarikat Aramco.
— BERNAMA