KUANTAN – Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian samun dan tetak dua beranak di Kampung Permatang BadakĀ di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada kira-kira pukul 7.10 malam.
Mangsa membabitkan seorang warga emas, Radzmah Awang, 71, yang hampir putus pergelangan tangan kiri dan cedera dibahagian kepala akibat ditetak menggunakan parang panjang.
Manakala anaknya, Ibrahim Shamsudin, 36, pula mengalami kecederaan di dahi, kepala, belakang badan dan tangan kiri dalam kejadian itu, katanya ketika dihubungi hari ini.
Berdasarkan maklumat, Wan Zahari berkata, suspek merupakan bekas pekerja pengadu itu melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Dash.
Hasil semakan rekod jenayah pula mendapati susek lelaki warga tempatan itu mempunyai lima rekod lampau membabitkan kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) , 427KK, Sek 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), Sek 15(1) ADB, dan Sek 457KK.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan menggunakan senjata. – MalaysiaGazette