Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini bersetuju melantik Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata, senarai calon UMNO bagi PRK itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Beliau memberitahu, tidak ada perbincangan sama ada pemimpin veteran lama negeri itu akan menjadi calon UMNO pada PRK tersebut.

“Tidak ada perbincangan mengenai calon PRK Kemaman dalam mesyuarat malam ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berakhir.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Che Alias dari Pas menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru yang turut melibatkan Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dari Barisan Nasional (BN).

Namun kemenangan Che Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemanan, Terengganu pada 2 Disember ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November depan.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Kemaman adalah terkini sehingga DPPR Tambahan Bulan Ogos 2023 yang dikemas kini sehingga 3 Oktober lalu.

DPPR ini mengandungi seramai 141,790 orang pemilih yang terdiri daripada 141,382 orang pengundi biasa, 387 orang anggota polis, sembilan (9) orang anggota tentera dan pasangan, dan 12 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast