Norliza (kanan) bersama Mohamad (tengah) menyantuni pengunjung pada Majlis Pelancaran Jelajah BMS 2023 Peringkat Zon Utara di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Jelajah Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 Peringkat Zon Utara yang dilancarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Mydin Bukit Mertajam hari ini menerima reaksi positif daripada pengunjung.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, buat julung kali sejak dilaksanakan pada 2018, BMS tahun ini dilaksanakan secara jelajah (road tour) ke 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia bermula 1 hingga 31 Oktober ini.

Jelas beliau, selain dilancarkan sempena dengan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun ia juga sebagai usaha menggalakkan budaya menabung dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

“BMS 2023 merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat di negara ini.

“Kita memilih tema BMS 2023 ‘Robotik : Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan’ serta mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ susulan konsep ini amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.

“Malah ia juga selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN kepada para peminjam dan pendeposit Simpan SSPN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya pada Majlis Pelancaran Jelajah BMS 2023 Peringkat Zon Utara di sini hari ini.

Mohamad menyampaikan penghargaan kepada Sekolah Kelab Simpanan Pendidikan pada majlis tersebut.

Terdahulu, perasmian Jelajah BMS 2023 Peringkat Zon Utara disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Tambah Norliza, Jelajah BMS 2023 ini membuktikan komitmen PTPTN dalam menyebarluaskan manfaat dan keistimewaan Simpan SSPN kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, khususnya di Zon Utara.

“PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

“Kita yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara,” katanya.

Selain Pulau Pinang, BMS 2023 Zon Utara turut diadakan serentak di tiga lokasi lain iaitu di Aeon Mall Klebang, Ipoh, Perak; Alor Setar Mall bagi negeri Kedah dan di C-Mart Arau (Perlis).

Program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya pertandingan mewarna Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Rekacipta Model Robotik dan Family Jenga.

Selain itu, Cabutan BMS 2023 juga diteruskan pada tahun ini dengan hadiah wang tunai berjumiah RM75,000 kepada 66 pemenang.

Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast