Wakil Pas Negeri Kedah, Prof Dr. Suffian Yusoff ketika pembahasan ucapan Dasar Presiden semepena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM,21 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Kedah satu-satunya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai ketiga-tiga parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu.

Pembahas Kedah, Prof Dr Suffian Yusoff berkata, jika formula kemenangan itu dapat dimanfaatkan PN, tidak mustahil PN mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Inilah the true of PN in Kedah state di mana ada ketiga-tiga parti dalam Kerajaan Negeri Kedah dan satu-satunya Parlimen di Kedah ini yang mempunyai ketiga-tiga parti iaitu Kulim Bandar Baharu.

“Ada satu kerusi DUN Bersatu, satu kerusi DUN Pas dan satu kerusi DUN Gerakan. Keadaan ini boleh kita aplikasikan di seluruh negara untuk pastikan PN ini benar-benar wujud di negara ini. Formula ini boleh dipelajari dari Kedah

“Komposisi penduduk di Kedah ini hampir sama dengan penduduk di Malaysia sekiranya kena dengan caranya, cukup asam garamnya, rencahnya, saya pasti pilihan raya akan datang, kita mampu tawan Malaysia,” katanya berucap ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.

Tambah Suffian, pada PRN15 undi popular PN Kedah yang diterajui Pas meningkat hampir 70 peratus iaitu lonjakan kira-kira 13 peratus berbanding PRU15.

“Inilah tanda sokongan rakyat Kedah berbilang kaum yang komposisinya hampir sama dengan penduduk Malaysia,” katanya.

Lebih manis lagi, katanya, apabila gelombang hijau di Kedah berjaya menumbangkan pimpinan utama Pakatan Harapan di negeri utara itu.

“Dengan memperoleh 33 kerusi ini, PN Kedah berjaya mengalahkan Pengerusi PH Kedah, kemudian Pengerusi BN juga kalah di Kedah, Pengerusi Amanah.

“Paling bergaya PN Kedah di bawah bantuan dan usahasama ini mengalahkan calon DAP di kerusi Derga. Inilah satu-satunya kerusi DAP yang kalah di Malaysia.

“Kejayaan Pas dan PN Kedah bukan sekadar di situ, kita berjaya meletakkan satu-satunya calon Gerakan untuk berada dalam DUN Kedah iaitu di DUN Kulim. Inilah satu-satunya kerusi Gerakan di dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast