MELAKA – Bagi memperkasakan lagi perkhidmatan kecemasan kepada masyarakat, Persatuan St John Ambulans Malaysia (SJAM) melancarkan kempen membeli gula-gula sambil menderma.
Pengerusinya, Datuk Lai See Ming berkata, langkah itu bagi membantu badan berkanun bukan berasaskan keuntungan itu menampung pembiayaan operasi dan logistiknya untuk kerja-kerja kemanusiaan dan amal tanpa mengira kaum.
“Sebagai organisasi menawarkan bantuan kemanusiaan, SJAM akan terus mengumpul dana menerusi pelbagai aktiviti dan penglibatan mana-mana syarikat korporat.
“Melalui kerjasama ini, sebanyak 20 sen bagi setiap gula-gula khas yang dilancarkan sempena kerjasama ini akan disumbangkan kepada SJAM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkhidmat Untuk Masyarakat bersama syarikat gula-gula, Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd di Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Mengulas lanjut, See Ming berkata, SJAM memberikan perkhidmatan 24 jam dan tujuh hari seminggu untuk ambulans, hemodialisis, latihan bantuan awal 999, pertolongan cemas dan khidmat masyarakat.
“Diharapkan melalui MoU ini, kami dapat memperkasakan lagi peranan kami kepada masyarakat dan menjadi pelengkap kepada sektor kesihatan awam sedia ada
“Kempen ini menyasarkan setiap pembelian gula-gula keluaran khas seperti Himalaya Vajomba Altice Fresh Mints, akan didermakan sekali gus dapat membudayakan amalan menderma,” katanya. – MalaysiaGazette