KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyendran kecewa dengan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK).
Pengasas syarikat perkapalan yang sudah bertapak lebih 20 tahun di negara ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindak tanduk LPK yang didakwanya mengeluarkan kenyataan ‘membingungkan’.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Jeyendran berkata, LPK mendakwanya mempertikaikan peraturan keselamatan pelabuhan dengan menyebut kapal bersaiz besar dibenarkan berlabuh walaupun terdapat peraturan yang jelas.
Kata Jeyendran, tuduhan kononnya Maritime Network telah mengabaikan aspek keselamatan dan menyebabkan keadaan berbahaya apabila kapal bersaiz besar kepunyaan pelanggan syarikat itu berlabuh di pelabuhan.
“Ingin saya jelaskan bahawa saiz kapal telah berlabuh dengan kebenaran bertulis daripada LPK, kami dapat kebenaran sebelum berlabuh jadi bagaimana pula anda kata kami datangkan bahaya kepada pelabuhan?
“Tolong berikan kami penjelasan tentang perkara ini, tolong beri penjelasan sebenar kerana kenyataan sedemikian berbaur fitnah terhadap pihak kami dan kami juga berharap daripada memberikan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.
Kata Jeyendran kenyataan ini keluar selepas beliau secara terbuka kepada media telah mendakwa LPK ‘lembab’ dan memohon Menteri Pengangkutan, Anthony Loke campur tangan.
Dalam kenyataan itu juga, Jeyendran telah meminta LPK untuk lebih profesional ketika berurusan dengan pelanggan berikutan kegagalan komunikasi oleh LPK berhubung satu e mel dihantar oleh Maritime Network pada 16 Oktober lepas.
“E mel berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat di Pelabuhan Klang meminta LPK mengeluarkan jadual selama tiga bulan waktu terbaik untuk berlabuh. Tapi selepas kami tunggu lebih empat, LPK masih tidak beri sebarang maklum balas,” katanya.
Bagaimanapun LPK menafikan tuduhan itu sebaliknya mendakwa menghubungi Northport, operator terminal pada 16 Oktober 2023 untuk berhubung dengan pengadu dan mendapatkan butiran mengenai jangkaan draf (kedalaman) kapal dalam tempoh tiga bulan untuk penyediaan jadual pasang surut air laut.
Kata LPK, itu menjadi amalan biasa bagi ejen untuk meminta jadual pasang surut air laut kira-kira seminggu lebih awal daripada ketibaan kapal tetapi bukan tiga bulan lebih awal.
Namun jawapan itu tidak dapat diterima oleh Jeyendran kerana mendakwa LPK masih cuba berdolak dalih.
“Jawapan itu diberikan kepada saya hanya selepas isu ini keluar dalam media, selang 30 minit saya dapat jawapan balas ini. Sememangnya saya kecewa kerana jawapan diberikan itu sebenarnya tidak berjawab, apa kami bangkitkan juga tidak terjawab.
“Kekurangan respons dan kelewatan baru-baru ini dalam pembangunan infrastruktur pelabuhan adalah sangat membimbangkan. Langkah kami dengan berat hati untuk melibatkan pihak yang berhasrat untuk mendapatkan respons yang sewajarnya adalah bukti kekecewaan kami dengan keadaan semasa berhubung dengan perkara ini.
“LPK balas e mel selepas kenyataan terbuka saya kepada media malah hantar butiran mengenai jangkaan draf (kedalaman) kapal dalam tempoh tiga bulan untuk penyediaan jadual pasang surut air laut. Mengapa sekarang boleh tapi sebelum ini ambil masa?” soalnya.
MalaysiaGazette sedang berusaha mendapatkan komen LPK berhubung dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette