SHAH ALAM – Pas sukar untuk bekerjasama dengan parti-parti politik yang bersikap ekstrem terhadap umat Islam dan orang Melayu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassansebaliknya berkata, parti itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
Menurut beliau, perkara itu dibuktikan melalui kerjasama Pas dengan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) selain bersama DAP dalam Pakatan Rakyat serta MCA dan MIC melalui Barisan Nasional (BN).
“Jadi tak timbul isu dulu cakap lain sekarang cakap lain. Itu adalah parti lain. Bukan sahaja secara lisan tetapi apa yang disebut dalam manifesto bila jadi kerajaan tidak dilaksanakan,” katanya dalam sidang media pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.
Takiyuddin mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini yang membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan ahli-ahli parti itu menarik undi bukan Islam.
Dalam ucapan dasar presiden semalam, Abdul Hadi berkata, bedah siasat yang dijalankan Pas mendapati mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu sekali gus tidak mendapat bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Takiyuddin menggalakkan lebih sejuta ahli Pas untuk memanfaatkan aplikasi super MyOnePAS yang dilancarkan Abdul Hadi dalam muktamar hari ini untuk menyalurkan sumbangan kewangan kepada parti.
Beliau memberitahu, mereka kini boleh berbuat demikian melalui aplikasi berkenaan yang turut menggabungkan Infaq Istiqamah.
“Aplikasi ini terbuka untuk semua, bukan ahli Pas sahaja, mereka pun boleh menyumbang,” jelasnya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, tiada had maksimum yang ditetapkan untuk menyumbang dan dana yang diterima akan dilaporkan secara telus oleh Pas Pusat.
Buat masa ini, aplikasi tersebut hanya boleh dimuat turun oleh telefon pintar dengan sistem android dan dijangka diperluaskan kepada sistem iOS bulan depan.
Ciri-ciri lain pada MyOnePAS adalah waktu solat serta penunjuk arah kiblat dan bakal membolehkan pendaftaran keahlian dilakukan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette