Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika membentangkan usul sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM,21 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Situasi getir yang dihadapi oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza akibat kepungan dan keganasan rejim Zionis Israel serta sekutu-sekutunya diumpamakan seperti ‘Perang Ahzab moden’.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, apa yang dihadapi rakyat Palestin tidak jauh berbeza dengan Perang Ahzab yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Menurut beliau, tindak balas kuasa-kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat yang berterusan memberi semangat kepada rejim Zionis Israel disifatkan sebagai sesuatu yang pelik.

“Gejala Islamofobia hari ini beranak kepada Palestinfobia dan Hamasfobia. Dalam media sosial sekiranya kita bercakap dan menulis tentang Palestin dan Hamas akan disekat, diserang,” katanya.

Muhammad Khalil berkata demikian ketika membentangkan usul mengecam keganasan rejim Zionis Israel di Gaza pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat itu menambah, parti berkenaan mengutuk jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh entiti haram Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Menerusi usul yang sama, katanya, Pas menggesa kerajaan mengetuai usaha mengheret entiti haram Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang yang kejam dan melampaui batas di Gaza.

“Pas mendesak kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada negara-negara yang terlibat menghalang usul gencatan senjata kemanusiaan daripada diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).

“Pas menggesa kerajaan Malaysia bertegas memperjuangkan pembebasan Palestin dengan menolak peranan AS yang khianat menyokong serangan Israel,” katanya.

Beliau menegaskan, Pas turut mendesak kerajaan menolak penyelesaian dua negara yang ternyata gagal memberi kemerdekaan dan keadilan kepada Palestin dan rakyatnya.

Usul tersebut diluluskan secara sebulat suara oleh para perwakilan yang menghadiri muktamar. – MalaysiaGazette