SHAH ALAM – Semua kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah yang ditadbir Pas perlu membawa perubahan dalam memperkasakan undang-undang syariah.
Wakil Pas Terengganu, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkata, mereka hendaklah bersatu hati dalam membawa wadah tersebut.
“Jangan berlainan pendekatan agar rakyat melihat kita betul-betul membawa arus perubahan perdana,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu yakin empat kerajaan negeri yang ditadbir Pas atau SG4 mampu menjadi platform kerjasama sekukuh Kesatuan Eropah (EU) dahulu.
Malah Mohd Fadhli percaya SG4 akan meneruskan legasi 8 Negara Membangun (D-8) yang pernah dipimpin bekas Presiden Turki, Necmettin Erbakan dahulu.
“SG4 perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan diskusi dan perbincangan meja bulat dengan semua pemegang taruh. Kami yakin SG4 bakal menjadi entiti baharu yang menjana kemajuan empat negeri yang dianaktirikan kerajaan Persekutuan,” jelasnya. – MalaysiaGazette