DAMSYIK – Agensi berita kerajaan Syria, SANA berkata, Israel melakukan serangan udara ke atas lapangan terbang Aleppo dan Damsyik awal pagi ini, merosakkan landasan dan menyebabkan kedua-duanya tidak beroperasi.
Dalam serangan itu, seorang pekerja awam terbunuh dan seorang lagi cedera, lapor SANA.
Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo didakwa menjadi sasaran Israel pada 14 Oktober dan 12 Oktober, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik didakwa hanya diserang pada 12 Oktober.
Kedua-dua lapangan terbang itu telah diserang berkali-kali sepanjang tahun lalu, kerana Israel dipercayai meningkatkan usaha untuk menghalang penghantaran senjata canggih dari Iran ke pelbagai proksi Timur Tengahnya, antaranya kepada kumpulan Hezbullah di Lubnan.
“Sekitar jam 5.25 pagi (0225 GMT), musuh Israel melakukan… serangan udara… menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Damsyik dan Aleppo, yang membawa kepada kematian seorang pekerja awam di lapangan terbang Damsyik dan mencederakan seorang lagi.
“Kerosakan material pada landasan lapangan terbang menyebabkan mereka tidak dapat digunakan,” kata sumber tentera itu dalam kenyataan itu yang dilaporkan oleh SANA.
Kementerian Pengangkutan berkata, penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang Latakia.
Sumber tentera berkata, serangan “serentak” datang “dari arah barat Mediterranean Latakia dan dari arah Golan Syria yang diduduki”, menurut kenyataan itu.
Pada 12 Oktober, serangan serentak menyebabkan kedua-dua lapangan terbang Damsyik dan Aleppo tidak beroperasi, kata Syria pada masa itu.
Hujung minggu lalu, serangan Israel menyasarkan lapangan terbang Aleppo, mencederakan lima orang, lapor seorang pemantau perang, turut menghentikan perkhidmatannya.
Sepanjang lebih sedekad perang di Syria, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hezbollah serta kedudukan tentera Syria.
Israel jarang mengulas mengenai serangan individu yang dilakukannya ke atas Syria, tetapi ia telah berulang kali ia tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran, yang menyokong kerajaan Presiden Bashar al-Assad, meluaskan kehadirannya di sana. – Agensi