KUALA LUMPUR – Padanan kerja menerusi portal MYFutureJobs mampu membendung isu kadar guna tenaga tidak sepadan kemahiran yang dikesan masih meruncing.
Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran bermaksud mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan tinggi tetapi bekerja di sektor separuh mahir atau berkemahiran rendah.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, situasi yang menyumbang kepada masalah ketidakpadanan kerja di Malaysia itu merekodkan situasi membimbangkan, meskipun perkembangan mengenai kadar pengangguran dan jumlah tawaran kerja menunjukkan tanda pemulihan.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) setakat suku kedua 2023, beliau berkata, seramai 1.91 juta individu di negara ini dibelenggu masalah ketidakpadanan kerja, iaitu peningkatan 6.4 peratus berbanding 1.795 juta individu pada suku sama tahun lalu.
“Justeru, isu ketidakpadanan kerja harus ditangani dengan sebaiknya dan saya yakin bahawa penganjuran Karnival Aspirasi MYFutureJobs ini mampu menjadi antara platform penyelesaian,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian Karnival Aspirasi MYFutureJobs Titiwangsa, di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi tempoh dari tahun 2020 sehingga 12 Oktober 2023, seramai 950,106 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Daripada jumlah tersebut, 192,880 atau 20.3 peratus penempatan pekerjaan adalah di Kuala Lumpur dan pencapaian ini direalisasikan melalui perkhidmatan pekerjaan termasuk program penempatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs.
Malah, katanya, sejak 1 Mei 2023, Program Kerjaya Madani yang dilaksanakan kerajaan melalui Perkeso sudah membantu lebih 10,000 pencari kerja dengan penglibatan sebanyak 5,283 majikan.
Insentif ini jelas memberi faedah para pencari kerja dan majikan di Malaysia.
“Saya percaya program ini dapat menyumbang ke arah peningkatan taraf hidup rakyat dan seterusnya bersama-sama mendukung hasrat kerajaan ke arah matlamat ‘Sifar Miskin Tegar’ menjelang tahun 2025.
“Malah, program yang menjadi sebahagian daripada usaha merancakkan pasaran
buruh, dengan kaedah pelaksanaannya di peringkat akar umbi ini lebih menepati kehendak rakyat, sekali gus mempercepatkan usaha pemulihan
pasca pandemik Covid-19,” tambahnya.
Beliau turut berpesan kepada para majikan agar jangan takut untuk memaklumkan status jawatan dan skop tugasan yang ditawarkan dan sebaiknya menawarkan jawatan berstatus tetap kepada pencari kerja sebagai galakan kepada pencari kerja memohon jawatan dan kekal bekerja.
Ia kerana walaupun para pencari kerja ditawarkan jawatan tetap mereka masih tetap terikat dengan polisi dan peraturan di bawah Akta Kerja 1955 berikutan terdapat dalam kalangan pencari kerja tempatan berasa ragu dan kurang yakin dengan tawaran berstatus kontrak yang ditawarkan.
Johari juga berpesan kepada orang ramai untuk memanfaatkan kemudahan profiling untuk tujuan padanan kerjaya menerusi portal pekerjaan negara MYFutureJobs.
Selain temu duga secara langsung, karnival yang dianjurkan di Dewan Perdana Keramat Mall menyajikan pelbagai pengisian seperti taklimat Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), taklimat kebolehpasaran, kaunseling kerjaya, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi hiasan kek, gubahan bunga dan penjagaan kuku, serta jualan rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Berdasarkan statistik sehingga 31 September lalu, Perkeso melaksanakan 16 karnival kerjaya berskala besar, selain 3,055 sesi temu duga harian dan khas berskala bersederhana di seluruh Malaysia, termasuk 181 karnival seumpamanya di Kuala Lumpur.
Untuk rekod bagi tempoh dari Januari 2022 hingga 31 September lalu, seramai 463,811 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs, termasuk 61,368 daripadanya di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette