Reaksi umat Islam berhimpun beramai-ramai bagi menyatakan solidariti terhadap peperangan yang berlaku di Palestin pada Himpunan Freedom For Palestine anjuran Viva Palastina Malaysia dan MYCARE ketika di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama hari ini berhimpun secara aman bagi bersolidariti dengan Palestin yang diserang berterusan tentera Israel.

Sejak jam 9 pagi tadi, Dataran Merdeka dibanjiri dengan peserta himpunan aman Freedom For Palestine bagi menyatakan sokongan padu kepada rakyat negara itu yang ditindas oleh rejim zionis.

Warga asing yang berada di negara ini turut tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyertai himpunan aman tersebut.

Mereka datang dengan penuh semangat, menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Palestin.

Seorang peserta yang tidak mampu menahan sebak terhadap kekejaman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin ketika hadir ke Himpunan Freedom For Palestine anjuran Viva Palastina Malaysia dan MYCARE di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2023.

Jeritan Paletin! Palestin! bergema kuat di Dataran Merdeka dengan kibaran bendera Palestin, disusuli dengan sorakan Israel shame of you.

Ada juga yang memakai pelekat bendera Palestin di muka masing-masing.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dlihat hadir dalam himpunan tersebut.

Nurul Izzah berkata, suara yang dilontarkan oleh Malaysia menerusi himpunan hari ini adalah penolakan terhadap perang jenayah yang dilakukan oleh rejim zionis.

Tambah beliau, kekejaman Israel perlu ditolak sekeras-kerasnya kerana telah membunuh ramai penduduk Gaza yang tidak bersalah.

Seorang peserta menunjukkan plakad yang mengutuk kekejaman Israel kepada penduduk Palestin pada Himpunan Freedom For Palestine anjuran Viva Palastina Malaysia dan MYCARE ketika di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2023.

“Kita menunjukkan sokongan kita ini merentasi agama dan kaum. Berpaksikan keadilan, rakyat Malaysia bersatu suara  menolak jenayah perang terhadap warga Palestin oleh Israel

“Ini bukan tentang kedua-dua pihak yang menyerang,  ia adalah Gaza yang tidak ada kena mengena juga ditindas. Anak-anak kecil tidak bersalah dibunuh,” katanya ketika ditemui selepas himpunan.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan penghargaan terhadap media yang memainkan peranan penting dalam menghebahkan kekejaman Israel.

“Terima kasih dengan media bersama-sama dengan hasrat kita ini. Rakyat kita yang bersuara menyatakan penentangan rejim zionis,” tambah beliau.

Himpunan aman anjuran Viva Palestina Malaysia yang bermula pada 10.30 pagi itu bersuarai secara aman tepat 1 tengah hari tadi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast