Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV Putrajaya 2023 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 22 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak pernah berbincang berhubung pertukaran portolio di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Perdana Menteri.

Beikutan itu, Ahmad Zahid menjangkakan tidak ada sebarang pertukaran akan berlaku pada portfolio yang dipegang di KKDW selepas ini.

“Saya rasa tidak ada pertukaran kementerian (KKDW) sebab PM tidak pernah bincang dengan saya,” katanya secara ringkas malam tadi.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV Putrajaya Tahun 2023 di sini malam ini.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengarahkan agar sukan peringkat kementeriannya itu wajib diadakan pada tahun 2024 lagi memandangkan temasya itu kali terakhir diadakan  pada tahun 2015.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam masa terdekat disebabkan kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ditanya desas-desus bakal dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri susulan rombakan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau sedia menerima apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Namun, pada 3 Oktober lalu Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menegaskan perihal rombakan dalam Kabinet tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana Jemaah Mesyuarat Kerajaan Madani.

Oleh itu, beliau meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu rombakan Kabinet sambil menegaskan bahawa ia adalah prerogatif Perdana Menteri untuk memuktamadkannya.