Seorang wanita menunjukkan cara-cara serbuk kayu Thanaka dibancuh untuk dijadikan bedak sejuk.

YANGON – Meskipun zaman makin moden, namun pemakaian bedak sejuk ‘Thanaka’ dalam kalangan wanita Myanmar ibarat tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Mengikit tradisi masyarakat Myanmar, pemakaian serbuk kayu daripada pokok dikenali Thanaka itu dicalit pada waktu siang bukannya waktu malam.

Pemakaian bedak sejuk ini dikatakan untuk mencantik dan menghaluskan kulit muka.

Nicholas, 25 tahun berkata, orang Myanmar memakai bedak sejuk itu berjam-jam lamanya bagi memastikan kulit mereka segar dan bersih.

“Serbuk kulit kayu (bedak sejuk)  boleh dibeli di pasaran dan hanya perlu dicampur dengan air, dan ada yang sapu berkali-kali selepas kering.

“Ada yang sapu di seluruh muka manakala ada yang hanya sapu di bahagian muka tertentu sepeti di pipi, dagu dan dahi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Penulis (empat dari kiri) bersama wanita Myanmar ketika berada di negara itu baru-baru ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di bandar Yangon mendapati wanita dan remaja perempuan tidak malu memakan bedak sejuk yang bertukar warna kuning selepas ia kering.

Lebih menarik golongan lelaki juga mencalit bedak taradisional itu, selain daripada kanak-kanak yang dilihat menjadi perkara rutin harian di Myanmar.

Difahamkan serbuk kayu itu dicampur dengan sedikit air dan diratakan mengunakan lesung sebelum dioles pada muka dan seterusnya dibiarkan kering selama beberapa jam telah diamalkan sejak dahulu lamanya.

Alat kosmetik asli itu juga dipercayai boleh digunakan sebagai pelindung cahaya matahari selain daripada bahan lapisan asas persolekan.

Kini bedak sejuk buatan Myanmar itu dijual dalam botol di kedai runcit dengan harga tidak mencecah 3,000 Kyat. – MalaysiaGazette