JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor sentiasa berusaha membantu umat Islam di Palestin dan akan menyerahkan kutipan Bantuan Rakyat Palestin melibatkan kutipan tabung di 3,000 surau dan masjid di seluruh negeri itu selama dua minggu yang berakhir Jumaat ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kutipan itu telah dimulakan pada 13 sehingga 27 Oktober lalu akan dikumpulkan mulai esok.
“Kita tidak meletakkan sasaran tetapi kita harap dapat mengutip seberapa banyak yang boleh. Kutipan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia yang mengelolakannya.
“Lebih 850 masjid akan buat kutipan termasuk lebih 2,000 surau dengan jumlah keseluruhannya lebih 3,000 masjid dan surau akan buat kutipan ini,” katanya.
Mohd Fared berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Global Wakaf Game Negeri Johor 2023 di Dewan Utama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, Bandar Baru Uda petang tadi.
Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata, pihaknya menggalakkan serta menyokong sebarang bentuk perhimpunan dan solidariti untuk rakyat Palestin yang ketika ini sedang berdepan peperangan dengan Israel.
Kerajaan negeri juga, katanya, mengalu-alukan mana-mana pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan ceramah terbuka menyokong perjuangan Palestin tetapi perlu dilakukan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang.
Di Johor juga semua masjid dan surau juga telah melakukan solat hajat dan bacaan doa Qunut Nazilah terutama selepas solat Jumaat sejak konflik Palestin-Israel itu tercetus. – MalaysiaGazette