Banjir di Kedah semakin pulih.

ALOR SETAR –  Banjir di Kedah semakin surut dengan jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah 51 orang setakat jam 4 petang tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, seramai 26 mangsa ditempatkan di PPS Surau Kampung Baru Batu 20 manakala Masjid Nurul Iman, 25 mangsa.

Jelas beliau, semua PPS bagi daerah Sik pula ditutup semuanya pada jam 2 petang tadi.

“Keadaan banjir semakin pulih dan semua mangsa banjir sudah pulang ke kediaman masing-masing untuk membersihkan sisa banjir.

“Buat masa ini hanya dua PPS dibuka hanya di Pokok Sena namun keadaan air di kawasan itu juga semakin surut.

“Bagaimanapun, pihak APM masih melakukan persediaan jika cuaca kembali hujan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa kampung di daerah Sik dinaiki air berikutan hujan lebat yang melanda sejak petang semalam.

Antara kampung terjejas adalah Kampung Banggol Kiat, Taman Derdap, Kampung Jerai, Kampung Belimbing, Kampung Seberang Pekan Sik dan Kampung Kemelong di Mukim Sik, manakala Kampung Pinang dan Kampung Surau dinaiki air.

Berikutan itu, dua PPS iaitu di Markas Pas Tanjung Belit dan Surau Kampung Belimbing yang dibuka pada jam 11 malam tadi ditutup sepenuhnya semalam berikutan paras air semakin surut. – MalaysiaGazette