TEL AVIV – Israel membalas dendam terhadap Greta Thunberg  yang popular kerana lantang menegur sikap pemimpin dunia menangani isu perubahan iklim dunia ketika Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2020.

Kementerian Pendidikan Israel hari ini berkata, pihaknya akan menghapuskan sebarang rujukan kepada aktivis alam sekitar selepas dia memegang sepanduk bertulis “Berdiri bersama Gaza.”

“Pendirian ini menghilangkan kelayakannya daripada menjadi model pendidikan dan moral, dan dia tidak lagi layak untuk berkhidmat sebagai inspirasi dan pendidik bagi pelajar Israel,” katanya dalam kenyataan.

Greta menghadapi krtikan daripada beratus-ratus aktivis iklim Israel selepas dia menyiarkan di platform X bahawa beliau melancarkan solidariti dengan Palestin dan Gaza.

“Dunia perlu bersuara dan menyeru gencatan senjata segera, keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin dan semua orang awam terjejas,” katanya.

Bagaimanapun pihak yang pro kepada Israel kecewa dengan pendirian Greta dan menulis dalam surat itu bahawa mereka “sangat terluka, terkejut dan kecewa dengan ciapan dan siaran anda mengenai Gaza” dan bahawa Grata harus “melihat semula kekejaman yang dilakukan oleh Hamas.”

“Greta Thunberg ialah aktivis iklim yang paling terkenal di dunia hari ini,” jawab Adam Teva V’Din.

“Dalam kedudukannya yang berpengaruh, Greta telah menyatakan pendirian berat sebelah dan tidak konsisten, sama sekali tidak mengendahkan perbuatan kejam yang dialami warga Israel dan penculikan ratusan orang.”

Greta sebelum ini menjadi contoh kepada remaja di seluruh dunia kerana membuktikan generasi muda boleh memainkan peranan besar dalam isu pemuliharaan alam sekitar. -Agensi