MELAKA – Sisa tumpahan punca pencemaran di parit Jalan Haji Said, Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, awal bulan ini disahkan tidak mengandungi sebarang bahan kimia berbahaya.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa berkata, hasil analisa kimia Jabatan Kimia Malaysia Bukit Katil mendapati ia bahan pencuci atau sabun yang tidak berbahaya.
“Bahan pencuci itu tidak dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Justeru setakat ini tiada tindakan diambil terhadap perlaku yang menyebabkan tumpahannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
MalaysiaGazette pada 4 Oktober lalu melaporkan penduduk di kampung berkenaan gempar apabila air parit yang jernih tiba-tiba bertukar warna kebiruaan dan berbuih menyebabkan banyak ikan mati.
Ia susulan tular kejadian dipercayai melibatkan aktiviti pembuangan sisa buangan itu yang disyaki dilakukan individu daripada luar Melaka. – MalaysiaGazette