KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya diberi kepercayaan untuk menerajui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sudah sampai masanya Dr Mahathir dipilih untuk jawatan tersebut bagi melaksanakan agenda menyatupadukan ummah.
Beliau juga yakin Dr. Mahathir mampu memainkan peranan memperkuatkan solidariti ummah sejagat bagi melawan dengan kuasa-kuasa besar dunia Barat yang menjadi proksi Israel.
Khairuddin menambah, ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, suara Dr Mahathir kedengaran amat lantang serta agresif di platform OIC dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya dalam isu Palestin, Bosnia dan Kosovo.
“Tokoh negarawan ini bukan sahaja bercakap tetapi terus membela negara-negara Islam yang ditindas oleh rejim Zionis mahupun negara-negara Barat pada waktu itu.
“Dr Mahathir senantiasa bangun membela Palestin, Bosnia, Kosovo serta negara-negara Islam yang lain secara terbuka di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – MalaysiaGazette