Anggota APM Alor Gajah,menangkap anak ular sawa di atas meja bilik asrama pelajar lelaki Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka pagi tadi. - Foto Ihsan APM Alor Gajah

ALOR GAJAH – Beberapa pelajar asrama lelaki sebuah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di sini, gempar apabila menemui seekor anak ular sawa di atas meja tulis bilik didiami hari ini.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan awam berhubung kejadian itu pada pukul 9.03 pagi.

“Susulan itu, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi sebelum mendapati seekor anak ular sawa sepanjang kurang satu meter di atas meja tulis asrama lelaki.

“Reptilia itu berjaya ditangkap sejam kemudian dan telah dilepaskan ke habitat asalnya tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, cuaca panas yang melanda negara ketika ini boleh mengundang kehadiran reptilia yang ingin mencari tempat yang lebih sejuk sebagai ‘rumah’ baru mereka.

“Jadi masyarakat dinasihatkan supaya tidak cuba memukul atau menangkap ular sesuka hati sebaliknya segera menghubungi pasukan penyelamat yang mempunyai kepakaran dan kemahiran menangkap haiwan itu,” katanya – MalaysiaGazette