Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mahu menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan di ibu negara dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ini kerana polis  mengesan beberapa individu yang menyertai perhimpunan menaiki motosikal sambil membawa sepanduk dan ada juga peserta yang dikesan membawa batang kayu.

“Tindakan membawa dan mengibarkan sepanduk semasa menaiki motosikal adalah perbuatan menyalahi undang-undang kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Oleh itu, polis akan melaksanakan operasi lalu lintas di sekitar ibu negara bagi memastikan orang ramai patuh undang-undang khusunya peraturan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Allaudeen juga menambah, terdapat beberapa pihak yang mengadakan perhimpunan di sekitar ibu negara sepanjang minggu ini.

“Kita sedia maklum mengenai kebebasan untuk berhimpun, perlu mempertimbangkan hak dan keselamatan pengguna lain di atas jalan raya mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Ada di antara mereka (penganjur) membuat pemakluman kepada kami (mengenai penganjuran perhimpunan, namun ramai (penganjur) yang tidak memaklumkan apa-apa,” katanya.

Diminta mengulas tentang Himpunan Satu Juta Malaysia bersama Palestin yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena Bukit Jalil malam ini, beliau memaklumkan polis sudah membuat segala persiapan bagi memastikan kelancaran perhimpunan tersebut.

“Persiapan untuk himpunan malam ini di Arena Axiata, malam ini, sudah digerakkan terutama oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Kita nasihatkan orang ramai yang mahu menyertai perhimpunan supaya patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi memastikan kelancaran himpunan serta lalu lintas,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette