Pembeli, Hanizah, 34, menunjukkan kunci yang diterima pada majlis serahan kunci kepada 500 pembeli projek perumahan Aspire Residence yang menunggu sejak tujuh tahun di Aspire Residence, Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 OKTOBER 2023.

CYBERJAYA – Kediaman Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) Aspire Residence Cyberjaya di Cyber 10 di sini yang sebelum ini dikategorikan  ‘projek sakit’ kini sudah siap dan mula diserahkan kepada lebih 700 pembelinya secara berperingkat bermula hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, walaupun tiada majlis khas melibatkan mana-mana kenamaan namun penyerahan kunci kediaman jenis kondominium itu dibuat secara tertutup melibatkan kira-kira 100 pembeli.

Difahamkan, satu majlis penyerahan rumah itu secara besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat dan ia akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pertengahan November ini.

Suasana perumahan Aspire Residence pada majlis serahan kunci kepada 500 pembeli projek perumahan Aspire Residence yang menunggu sejak tujuh tahun di Aspire Residence, Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 OKTOBER 2023.

Aspire Residence melibatkan pembinaan tiga blok 25 tingkat meliputi 1,168 unit kediaman bagi tiga kategori berbeza mengikut saiz kediaman dengan pelbagai fasiliti antaranya kolam renang, taman permainan dan gimnasium.

Sebelum ini, projek itu yang sepatutnya siap pada 2019 tergendala akibat isu aliran tunai dan kontraktor asalnya yang menghentikan kerja di tapak khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembeli kerana tidak mendapat rumah dalam tempoh yang sepatutnya.

Ruang dalaman rumah pada majlis serahan kunci kepada 500 pembeli projek perumahan Aspire Residence yang menunggu sejak tujuh tahun di Aspire Residence, Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 OKTOBER 2023.

Selain itu, MalaysiaGazette juga diberi peluang melawat beberapa unit kondominium terbabit dan mendapati keadaan fizikal kediaman terbabit siap sepenuhnya dan sedia diduduki pembeli.

Kondominium yang berkeluasan 900 kaki persegi itu kelihatan hampir sempurna meskipun ada beberapa unit masih tidak dilengkapi dengan lampu dan kipas siling.

Tandas OKU untuk unit yang dijual kepada OKU pada majlis serahan kunci kepada 500 pembeli projek perumahan Aspire Residence yang menunggu sejak tujuh tahun di Aspire Residence, Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 OKTOBER 2023.

Menariknya sebanyak 12 unit rumah khas disediakan untuk pembeli dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terletak di tingkat bawah Aspire Residence bagi memudahkan akses golongan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast