KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk membina lingkaran-lingkaran baharu sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya sedia ada.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya menyedari kesesakan lalu lintas yang teruk barlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) terutamanya pada musim perayaan dan cuti hujung minggu.
Menurut beliau, rancangan pembinaan lingkaran-lingkaran baharu tersebut kini di peringkat kajian awal.
“Dari LPT, kami merancang untuk membina lingkaran yang menghubungkan Pelangai, Pahang dan Negeri Sembilan serta Johor.
“Salah satu perancangan lain adalah menghubungkan Johor terus dengan Putrajaya, maknanya memendekkan perjalanan dari lebuh raya ke Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya sama ada kerajaan merancang untuk membina lingkaran-lingkaran lebuh raya yang baharu.
Rayer membangkitkan isu kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di PLUS sehingga menyebabkan pengguna lebuh raya terpaksa menempuh perjalanan antara lima hingga enam jam dari Ipoh ke Pulau Pinang.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai usaha kerajaan mengatasi kesesakan lebuh raya di Plaza Tol Gombak dan Bentong, Abdul Rahman memberitahu, masalah itu dijangka selesai setelah projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KARAK) dilaksanakan.
Beliau menambah, projek yang bakal dilaksanakan syarikat konsesi, ANIH Berhad itu dijangka bermula pada suku kedua tahun depan.
“Kita telah meluluskan cadangan pelebaran KLK bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Central Spine Road, Bentong,” jelasnya. – MalaysiaGazette