KUALA LUMPUR – Kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor terus menyederhana pada Ogos 2023 dengan mencatatkan marginal negatif 0.5 peratus kepada 109.7 mata berbanding negatif 1.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Empat komponen menyumbang secara positif kepada indeks tersebut terutamanya Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (245.7%), diikuti oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (15.2%), Bilangan Syarikat Baru Didaftar (13.1%) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (3.6%).

Sebaliknya, Import Benar Semi Konduktor terus menunjukkan penurunan (-31.9%), kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Indeks Pelopor (IP) ialah alat yang digunakan untuk meramalkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Kadar pertumbuhan IP terlicin Ogos 2023 kekal di bawah aliran 100.0 mata, menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus menyederhana disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi global walaupun permintaan domestik kukuh.

Merujuk kepada senario ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus kepada 123.6 mata pada Ogos 2023 berbanding 121.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan oleh semua komponen kecuali Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.4%).

Perubahan bulanan IS pula mencatatkan 0.04 peratus untuk mencapai 123.6 mata berbanding 123.5 mata pada Julai 2023, disokong terutamanya oleh peningkatan Jumlah Guna Tenaga, Pembuatan (0.4%). – MalaysiaGazette