Hospital al-Quds antara yang menjadi sasaran regim Zionis.

GAZA CITY – Tindakan kejam rejim Israel bukan sahaja menyerang dan membunuh rakyat Palestin tetapi turut menyekat kemasukan bahan api yang digunakan bagi menghidupkan generator yang membekalkan elektrik kepada hospital.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut enam buah hospital di Gaza terpaksa ditutup kerana ketiadaan bahan api.

Perkhidmatan kesihatan di Gaza hampir lumpuh bukan sahaja kerana kekurangan bahan api tetapi juga ada yang rosak dan musnah akibat serangan udara regim Zionis yang telah berlarutan lebih dua minggu.

“Melainkan bahan api penting dan bekalan kesihatan tambahan dihantar segera ke Gaza, ribuan pesakit rentan berisiko kematian atau berhadapan komplikasi apabila perkhidmatan kritikal ditutup akibat kekurangan bekalan kuasa,” katanya.

Selain mangsa yang tercedera, ramai yang lain menghidap penyakit yang memerlukan rawatan seperti dialisis dan bagi bayi yang baru dilahirkan.

Sementara itu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut menggesa supaya bekalan bahan api dibenarkan masuk ke Gaza dengan segera.

“Bahan bakar sangat penting untuk operasi kemudahan asas seperti hospital, loji penyahgaraman dan pam air,” kata UNICEF dalam kenyataannya.-Agensi